hello[at]yesgoodpharmacy[dot]com

Sejarah penubuhan Yes Good Pharmacy (YGP)

Bermodalkan sekitar RM200,000  Yes Good Pharmacy (YGP) berjaya dibuka dan mula beroperasi dengan rasminya pada 20 Januari 2013. Bertempat di No 40 Taman Lumut Indah, Lumut Perak. Pada masa itu kawasan ini baru dibangunkan walaupun ia laluan utama menuju ke  tempat perkelahan yang terkenal iaitu pantai Teluk Batik dan berdekatan dengan pekan Lumut.

Bersama 3 orang staff YGP bermula dari tidak dikenali sehinggalah mempunyai pelanggan tetapnya sendiri. YGP berjaya membantu memudahkan penduduk sekitar untuk mendapatkan perkhidmatan ubat-ubatan terkawal dan produk Kesihatan lain tanpa perlu ke farmasi yang lebih jauh di bandar Seri Manjung.

YGP berada di bawah kelolaan Pn Hairuniza binti Mohd Fadil selama 4 tahun sehingga bulan Februari 2017 sebelum diambil alih pengurusannya oleh pemilik yang baru iaitu Pn Umi Hani Binti Mohd Asmawi. 

Di  bawah pengurusan yang baru ini, YGP berjaya bertahan dan menjadikan farmasi ini sebagai farmasi pilihan ramai  untuk lebih 40 ribu penduduk sekitar Lumut. Pelanggan YGP terdiri dari penduduk sekitar dan pelancong luar.  Antara pelanggan setia kami adalah penduduk sekitar Kampung Padang Tembak, taman-taman perumahan yang berhampiran, ahli keluarga warga Tentera Laut di Raja Malaysia (base NAVY) dan lain-lain lagi. Pengunjung luar juga ramai yang singgah membeli keperluan kesihatan di sini kerana lokasinya yang strategik.

Adalah menjadi satu kelegaan apabila tempat yang kita lawati itu, ada pelbagai kemudahan dan tempat menarik untuk dilawati. Tidak ketinggalan buat  YGP yang letaknya di Lumut Perak ini! Setelah anda mendapatkan keperluan ubat-ubatan di sini, jangan lupa luangkan sedikit masa untuk meneroka tempat-tempat menarik di sini ya!

Apa yang menarik di sekitar YGP

Di bawah ini, disenaraikan antara tempat-tempat yang berbaloi untuk anda kunjungi apabila berada di Lumut. Tempat-tempat tersebut adalah:-

✅ Pantai Teluk Batik.

Jaraknya hanya 6km dan mengambil masa 11minit sahaja dari YGP jika anda menaiki kereta. Pantai yang cantik dan terjaga, anda boleh memilih untuk mandi laut atau hanya berjalan di sepanjang persisiran pantai sambil menunggu matahari terbenam. Di sekitar pantai ini juga, banyak gerai-gerai yang menjual aksesori, permainan air untuk kanak-kanak, minuman dan juga makanan. Jangan risau kalau anda tak bawa bekal makanan, banyak gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman di sini.

✅ Frenzy Water Park Marina Island

Anda tak suka laut tapi lebih sukakan ketenangan di tasik? Maka, di sinilah tempatnya! Di sini anda boleh berkayak atau bermain “paddle boat”, sambil menghirup udara tasik dan angin sepoi-sepoi bahasa. Tak jauh dari YGP, hanya memandu 7 minit dengan kereta dah boleh sampai. Waze sahaja Frenzy Water Park Marina Island untuk sampai ke sini. Bayaran dikenakan, hanya rm20/kayak dan rm25/paddle boat.

✅ Pulau Pangkor

Kalau dah sampai ke Lumut, rugilah kalau tak sampai ke Pulau Pangkor! Dari YGP, anda boleh memilih untuk naik feri di Kompleks Jeti Marina untuk ke sana. Jarak YGP ke Jeti Marina hanya 7km. Perjalanan dengan feri ke Pulau Pangkor pula hanya memakan masa 10 minit. Sesampai di sana, anda boleh memilih untuk menaiki van ataupun menyewa motosikal untuk menjelajah ke seluruh pulau. Jika anda juga seorang peminat coklat, jangan lupa untuk membeli pelbagai jenis coklat di sana! 

✅ Pekan Lumut

Di sinilah letaknya syurga membeli-belah bagi para peminat produk hasil laut. Dari YGP, anda perlu memandu sejauh 4.2km untuk sampai ke sana. Di sana terdapat pelbagai produk hasil laut seperti sotong kering, udang kering, ikan masin dan ikan bilis mata biru yang segar dan berkualiti. Mesti rambang mata nak beli yang mana 😀

✅ Taman Paya Bakau Lumut

Bagi pencinta alam sekitar, anda juga boleh jadikan Taman Paya Bakau ini sebagai salah satu destinasi untuk dikunjungi. Taman Paya Bakau ini ialah sebuah kawasan bakau yang masih terpelihara dan dijaga dengan baik oleh Majlis Perbandaran Manjung. Jaraknya, sangat dekat dari YGP. Hanya 1.3km sahaja untuk sampai ke sana dengan kereta.

 

YGP menumpang tuah bandar Lumut yang telah diishtiharkan sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim pada April 2009. Oleh itu kawasan ini menjadi tumpuan seluruh negara dan antarabangsa datang ke sini bagi meraikan banyak acara yang dianjurkan oleh pihak NAVY dan Maritim. Ia juga pilihan utama peminat joran dari dalam dan luar negara.

Sehingga ke saat ini, YGP telah pun masuk ke tahun yang ke-12 sejak dari hari penubuhannya. Masa yang berlalu menjadikan YGP semakin matang dan mantap dalam terus memberikan perkhidmatan yang terbaik buat pelanggan kami. Harapan agar YGP akan dapat terus mencurahkan khidmat terbaik  sesuai dengan slogan kami iaitu “Kembalikan Kesihatan anda” .